Jodoh ditetapkan Allah SWT tidak pernah salah

Jodoh ditetapkan Allah SWT tidak pernah salah

Rezeki, jodoh dan ajal adalah perkara yang sudah ditetapkan Allah SWT sejak di Luh Mahfuz. Setiap sesuatu yang ditakdirkan untuk manusia menjadi rahsia-Nya kerana tiada siapa yang mengetahui apa yang bakal berlaku dalam perjalanan hidup masing-masing.

Permasalahan ini sangat penting untuk dibahas kerena terkait dengan Qada dan Qadar berhubung keyakinan dan kepercayaan sebagai seorang Muslim. Selain itu, jangan sampai termasuk ke dalam aliran Jabariah yang menganggap bahawa manusia hanya seperti wayang yang dipaksa mengikuti takdir-Nya atau seperti aliran Qadariah yang meyakini semuanya adalah kehendak manusia tanpa campur tangan Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami khazanahnya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.” (Surah al-Hijr: 21)

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia.” (Riwayat Muslim, no.2643)

‘Jodoh dan pertemuan adalah di dalam tangan Tuhan’ begitulah bunyi serangkap ayat yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu berkaitan hubungan perkahwinan dan perceraian yang berlaku. Islam telah mendidik dan mengajarkan umatnya bahawa tiada siapa yang boleh menentukan jodoh seseorang itu melainkan dengan kehendak dan izin daripada Allah SWT.

Berkaitan soal jodoh seseorang itu, Allah SWT tidak akan menentukan sesuatu melainkan berdasarkan kehendak dan kemahuan seseorang itu sendiri. Natijah daripada perbuatan itulah terletaknya penentuan Allah SWT yang Maha Mengetahui. Allah SWT tahu segala sesuatu yang dikehendaki oleh seseorang itu dan juga segala yang akan dilakukannya, maka di akhir perbuatan seseorang itu Allah SWT telah menentukan sesuatu yang dinamakan Qada dan Qadar atau pun disebut juga takdir.

Misalnya, Allah SWT memang telah mengetahui siapakah wanita yang akan dipinang dan juga wanita mana pula yang akan menerima pinangan seseorang lelaki, maka di atas dasar inilah Allah SWT menentukan jodoh seseorang itu.

Justeru, jika seseorang benar-benar faham penjelasan di atas, maka individu itu tidak akan menyalahkan Allah SWT kerana telah menjodohkannya dengan seorang yang kurang sesuai dan tidak sempurna sehinggakan mahligai yang didirikan itu bergolak atau tidak kekal. Lazimnya, hubungan seseorang akan didahului dengan proses pertemuan sebagai permulaan, disusuli dengan perkenalan, peminangan, pertunangan dan diakhiri dengan perkahwinan antara seorang lelaki dan wanita.

Perlu diingatkan bahawa walaupun seseorang itu telah bertunang, namun belum tentu dan pasti lagi bahawa pasangan berkenaan adalah jodohnya kerana memang tidak dapat dinafikan bahawa ada banyak pertunangan yang tidak diakhiri dengan perkahwinan.

Begitulah juga, setelah perkahwinan juga ada yang terus kekal sehingga akhir hayat dan ada juga berakhir dengan perpisahan semasa hayat kerana pelbagai faktor dan takdir yang perlu dilihat secara positif.

“…boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 216)

Ujian dalam perkahwinan adalah lumrah yang perlu dihadapi oleh suami dan isteri. Namun, seseorang juga perlu menerima takdir seandainya jodoh itu tidak berpanjangan dan berakhir dengan penceraian.

Segelintir masyarakat tersalah faham berkaitan perceraian yang berlaku sehingga merasakan jodohnya telah ‘tersalah’ atau ‘tersilap’, bahkan ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’. Perlu ditegaskan bahawa jodoh yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak pernah salah. Setiap orang yang telah berkahwin dengannya, itulah jodoh. Ketika sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu.

Tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada tempoh tamat, termasuklah mati, kecuali hanya Allah SWT yang kekal. Allah sahaja yang Maha Hidup dan tidak akan mati selama-lamanya.

Jika jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, bermakna Nabi Nuh dan Nabi Luth juga mendapat jodoh yang salah kerana isteri telah khianat dan ingkar terhadap perintah Allah dan suami. Begitu juga sebaliknya Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang jahat. Demikianlah, perbahasan berkaitan rezeki, jodoh dan ajal adalah ketentuan dan ketetapan daripada Allah SWT bagi setiap manusia yang perlu difahami dengan baik dan jelas. 

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top