Jodoh itu rahsia Allah, sama ada cepat atau lambat – Aaron Aziz

Jodoh itu rahsia Allah, sama ada cepat atau lambat – Aaron Aziz

am@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, kalau dia (Syamsul) sudah berdamai dengan ‘family’ (keluarganya). Baguslah!,” kata pelakon, Datuk Aaron Aziz ketika diminta mengulas mengenai pelakon dan pengarah Syamsul Yusof yang sudah kembali ke pangkuan keluarganya pada 9 September lalu selepas bertahun tidak berjumpa.

Kata Aaron, dia juga mengetahui berita Syamsul sudah berbaik semula dengan kedua ibu bapanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail menerusi foto yang tular di media sosial.

“Saya hanya tengok gambar mereka sekeluarga gembira bersama pelakon Puteri Sarah dan anak-anak menerusi media sosial,”katanya kepada Harian Metro.

Aaron ditemui pada sesi ‘Meet & Greet’ bersama peminat di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara malam tadi.

Ditanya sama ada dia ada berhubung dengan Syamsul, kata Aaron, dia memang tiada berhubung dengan pengarah filem Mat Kilau itu selepas insiden membabitkan mereka sebelum ini.

“Saya memang tiada hubungi dia untuk bertanya perkara itu (sudah berbaik dengan keluarga). Begitu juga sebaliknya, dia juga tidak hubungi saya.

“Saya memang jarang nak ambil tahu mengenai hal keluarga dan rumah tangga orang lain,” katanya.

Sementara itu, diminta komen mengenai rumah tangga pasangan artis yang bercerai- berai pula, kata Aaron, dia juga tidak mahu ambil tahu mengenainya.

“Apa yang saya boleh katakan, jodoh itu rahsia Allah, sama ada sekejap atau lambat.

“Saya dapat tahu berita keretakan rumah tangga pasangan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura pun menerusi media sosial.

“Nak buat macam mana berita itu sudah keluar di media sosial seperti TikTok dan semua orang pun tahu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top