Manchester: Masa depan Erik ten Hag akhirnya terjawab apabila pengurus itu kekal di Old Trafford musim depan selepas satu perbincangan dilakukan pengurusan tertinggi Manchester United, lapor media British.
Memetik sumber dari BCC berkata, keputusan mengekalkan Ten Hag selepas melihat kebangkitan pasukan itu di akhir musim lalu apabila berjaya melangkah ke pentas final Piala FA.
Ia kemudiannya menyaksikan United muncul juara trofi itu dengan kemenangan 2-1 ke atas musuh jiran tetangga Manchester City di final.
Ujar laporan itu lagi, dominasi baik pemain-pemain Ten Hag pada perlawanan final Piala FA membuatkan pengurusan kelab percaya United mampu tampil lebih padu pada musim depan.
Malah selepas aksi akhir Piala FA itu, bekas pengendali Ajax itu akui tidak mengetahui tentang masa depannya dan beliau menyerahkan nasibnya di tangan pengurusan.
“Satu-satunya perkara yang saya lakukan ialah menyediakan pasukan saya, membangunkan pasukan saya, memajukan pasukan saya dan pemain secara individu. Ini projek saya,” katanya.
“Apabila saya datang, keadaan menjadi kucar-kacir. Kami kini lebih baik tetapi setakat ini tidak berada di tempat yang kami mahu,” kata Ten Hag sebelum ini.
Terdahulu beberapa nama dikaitkan untuk mengisi tempat Ten Hag di United antaranya Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino, Graham Potter, Thomas Frank, Roberto De Zerbi dan jurulatih kebangsaan England ketika ini, Gareth Southgate.
© New Straits Times Press (M) Bhd




