Joey gandingan Naqiu di FD4

Joey gandingan Naqiu di FD4

georgie@hmetro.com.my

Shah Alam: Artis serba boleh, Joey Daud diumum sebagai pasangan kepada Naqiu yang akan berentap dalam Famili Duo musim keempat (FD4) yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Studio TV3, Glenmarie di sini, malam tadi.

Penyertaan Joey yang sebelum ini dirahsiakan pihak produksi akhirnya membuat kemunculan bersama Naqiu pada konsert minggu pertama dengan persembahan lagu Akhirnya Kini Pasti nyanyian asal Anita Sarawak dan Sinaran (Sheila Majid).

Penyertaan Joey atau nama sebenar, Zulkifli Daud yang pernah menjadi vokalis Exists antara 2008 hingga 2014 bakal memberi cabaran kepada lima pasangan yang sudah diumumkan di TV3 dalam sidang media sebelum ini.

Pendedahan identiti pasangan kepada Naqiu menjawab persoalan ramai, sekali gus mengundang sorakan gemuruh peminat.

Joey bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air, malah berpengalaman luas bidang dunia muzik apabila pernah bernaung di bawah syarikat rakaman milik maestro muzik, Datuk M Nasir iaitu Luncai Emas Sdn Bhd.

Di bawah Luncai Emas, Joey turut aktif dalam industri lakonan sejak awal 2000 dan sempat menghasilkan dua album iaitu Beradu Suratan pada 1994 dan Joey (1996).

Sementara itu, konsert minggu pertama FD4 dikejutkan dengan pengunduran Yazmin Aziz yang sepatutnya bergandingan bersama Didi Astillah sebagai pasangan sepupu.

Kekosongan itu diisi oleh anggota kumpulan The Gadys, Thamiera.

Pasangan lain yang turut bersaing adalah Shiha Zikir dan Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid dan Anne (adik-beradik), Salma Asis dan Ayie Elham (sepupu) serta Tomok dan Sharul Kamal (sepupu).

FD4 menampilkan artis serba boleh, Janna Nick dan Sharif Zero sebagai pengacara sementara juri profesional menampilkan gandingan Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top