Johan Aziz syukur rai Aidilfitri selepas pulih daripada kritikal

Johan Aziz syukur rai Aidilfitri selepas pulih daripada kritikal

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Saya rasa bersyukur teramat sangat kerana masih diberi peluang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.

“Saya dapat pulang ke kampung ziarah kubur arwah kedua-dua orang tua saya dan beraya bersama anak dan keluarga saya di Johor Bahru,”

Demikian kata pengasas dan bekas pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz yang berkesempatan meraikan Aidilfitri selepas diuji dengan penyakit kritikal sebelum ini.

Pada pertengahan Disember lalu, Johan, 61, dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Ampang akibat kanser menghimpit saraf di bahagian tulang belakang.

Beliau ditahan di wad selama hampir dua bulan apabila situasi keadaan kesihatannya tidak menentu.

Ini menyebabkan rakan-rakan industri termasuk artis antaranya, Zamani dan Shah Slam menziarahinya untuk memberikan kata-kata semangat.

“Saya ditahan di hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan tekanan oksigen badan saya rendah dan tidak stabil.

“Siapa sangka saya masih dapat bertemu Aidilfitri pada tahun ini dan beraya bersama keluarga,” katanya.

Terdahulu semasa keadaan Johan kritikal, isterinya, Nor Hayati Salim, 59, menerima ketentuan takdir dengan hati terbuka.

Menurutnya, dia dan anak-anak reda dengan apa yang berlaku.

Katanya, Johan dipantau selama 24 jam dan doktor tidak membenarkan mereka balik ke rumah dan disuruh menunggu di bahagian luar wad.

Selepas dua hari di ICU, keadaan Johan kembali stabil dan dibenarkan pulang ke rumah pada 27 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top