am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hanya dua lokasi di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 5 petang ini, berbanding empat lokasi dilaporkan pagi tadi.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kawasan Johan Setia di Selangor mencatatkan bacaan IPU tertinggi dengan catatan 154, diikuti Nilai di Negeri Sembilan (117).
Dua lokasi yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat pagi tadi kini berada pada tahap sederhana iaitu Seremban, 80 dan Balok (95).
Hanya Langkawi di Kedah merekodkan bacaan tahap baik iaitu 41 manakala 65 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU sederhana.
Menurut APIMS, IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Terdahulu, media melaporkan jerebu rentas sempadan didapati sedang melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, laporan dikeluarkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.
Menurutnya, ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu (di Malaysia) yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.
Orang ramai boleh merujuk laman web APIMS untuk mengetahui tahap IPU terkini.
© New Straits Times Press (M) Bhd