Johnathan idam kejutan di Sukan Asia 2026

Johnathan idam kejutan di Sukan Asia 2026

PETALING JAYA: Kematangan penembak negara, Johnathan Wong dalam mengharungi saingan di pentas tertinggi ditagih untuk membutirkan pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pada penampilan sulungnya di Incheon 2014, Jonathan yang beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol menamatkan saingan di kedudukan ke-22 keseluruhan sebelum berada di tangga ke-24 pada edisi 2018.

Bagaimanapun, pengalaman yang dikumpul sepanjang tiga temasya mula membuahkan hasil apabila dia mempamerkan peningkatan ketara di Hangzhou 2022 susulan kejayaannya mara ke pentas final sebelum menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.

Mengulas harapannya menjelang Sukan Asia 2026, Johnathan mengakui impiannya adalah untuk menghadiahkan pingat buat negara, namun enggan meletakkan tekanan berlebihan terhadap dirinya.

“Saya akan cuba buat yang terbaik. Sudah tentu kalau ikutkan impian, semua orang nak emas. Saya akan berusaha ke arah itu. Tapi yang paling penting adalah saya akan cuba buat yang terbaik supaya dapat menunjukkan prestasi terbaik kali ini.

“Kalau diizinkan, sudah tentu saya ingin bawa pulang pingat,” kata Johnathan yang turut memiliki pengalaman beraksi di pentas Olimpik pada temasya Rio 2016 dan Paris 2024.

Johnathan bagaimanapun sedar cabaran yang menantinya bukan mudah memandangkan Sukan Asia sentiasa menghimpunkan penembak terbaik dunia.

“Kita ada China, penembak terbaik biasanya dari China. Kita ada Korea Selatan, India dan juga beberapa negara Asia Tenggara yang sedang meningkat naik. Jadi, kita tidak boleh mengetepikan mereka sebagai pesaing.

“Tapi seperti yang saya katakan, saya akan cuba buat yang terbaik. Saya tahu mereka adalah pesaing, namun fokus saya lebih kepada diri sendiri kerana jika kita membuat keputusan yang baik, peluang untuk mara ke final akan lebih tinggi,” katanya.

Kali terakhir skuad menembak negara meraih pingat di Sukan Asia adalah pada edisi 2014 apabila Ezuan Nasir Khan dan Nur Suryani Taibi masing-masing memenangi pingat perak dalam acara 50 meter (m) rifle prone lelaki dan wanita, selain gangsa menerusi acara 50m rifle prone berpasukan wanita.-UTUSAN

 

Scroll to Top