am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Johor terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri nanas negara dengan keluasan tanaman mencecah kira-kira 10,366 hektar pada 2025, iaitu lebih separuh daripada keseluruhan keluasan tanaman nanas di negara ini.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M Salleh, berkata nilai industri nanas di negeri ini dianggarkan melebihi RM680 juta setahun dengan jumlah pengeluaran sekitar 280,000 metrik tan menyumbang kira-kira 63.7 peratus daripada pengeluaran negara.
“Selain pengeluaran buah segar, industri nanas turut berkembang dalam sektor hiliran seperti pemprosesan makanan, produk berasaskan nanas serta inovasi penggunaan sisa tanaman.
“Ini membuktikan bahawa industri nanas kini berkembang secara menyeluruh merangkumi keseluruhan nilai rantaian,” katanya sempena Majlis Perasmian Kursus Rantaian Nilai Industri Nanas Wilayah Selatan 2026 di sebuah hotel di sini semalam.
Majlis perasmian berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip.
Seramai 100 peserta terdiri daripada penanam, pemasar dan pengusaha produk menyertai kursus selama tiga hari dengan peruntukan sekitar RM100,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Mohd Khairuzamri berkata, pelbagai modul disediakan sepanjang kursus berlangsung antaranya amalan pertanian baik, pengurusan makhluk perosak bersepadu, penggunaan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) serta pensijilan halal serta strategi pemasaran bagi memperkukuh daya saing industri.
Katanya, kursus itu turut memperkenalkan penggunaan teknologi dan inovasi terkini dalam meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi dalam industri berkenaan.
Ujarnya lagi, penekanan juga diberikan kepada penghasilan pruduk hiliran berasaskan nanas merangkumi produk makanan dan bukan makanan yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
“Kursus ini satu kursus pembangunan kapasiti yang komprehensif, dirangka khusus bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta tentang keseluruhan rantaian industri nanas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, LPNM turut merangka lima teras utama di bawah RMK-13 termasuk memperkasa tadbir urus, meningkatkan hasil pengeluaran, memperluas penggunaan teknologi serta memacu digitalisasi dalam rantaian industri.
Sementara itu, Zahari dalam ucapan perasmiannya berkata, penganjuran kursus tersebut merupakan langkah strategik dalam memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri nanas, termasuk aspek pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran.
“Kursus ini bukan sahaja memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta, malah memperkenalkan teknologi serta amalan terbaik bagi memastikan industri ini terus berkembang secara mampan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




