Johor tak tinggal Islam dalam agenda pembangunan

Johor tak tinggal Islam dalam agenda pembangunan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sambutan 100 tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bukti Johor tidak pernah meninggalkan Islam dalam setiap agenda pembangunan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dalam tempoh itu MAINJ bukan sekadar bertahan tetapi terus membangun, memimpin dan memberi manfaat yang besar.

Katanya bukan sahaja berperanan sebagai pengumpul zakat, tetapi institusi ini juga memastikan wang zakat dimanfaatkan untuk membantu golongan asnaf dan pembangunan ummah.

“Kutipan zakat Johor berkembang daripada hanya RM40 juta pada tahun 2000, melonjak lebih RM400 juta pada tahun lalu.

“Agihan zakat bukan sahaja berbentuk kebajikan, tetapi dari segi memacu pendidikan, kesihatan, perumahan dan pembangunan ekonomi asnaf.

“Johor kini diiktiraf antara negeri terbaik dalam pengurusan zakat berlandaskan prinsip ketelusan dan keberkesanan. MAINJ juga berjaya mengurus ribuan hektar tanah wakaf yang dibangunkan menjadi masjid, sekolah agama, kompleks perniagaan, universiti, hospital dan tanah pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan 100 Tahun Penubuhan MAINJ dan Multaqa Ulama’ Darul Ta’zim kali ke 9 yang disempurnakan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, tempoh 100 tahun berlalu adalah sejarah dan MAINJ perlu bergerak dengan lebih berani dengan visi masa depan menerusi beberapa inisiatif.

Antaranya digitalisasi pentadbiran Islam dengan memastikan zakat, wakaf, baitulmal dan pendidikan diurus secara pintar, telus dan mesra rakyat.

“Dari sudut ekonomi berteraskan syariah, MAINJ juga perlu memperluaskan wakaf perniagaan, pelaburan halal dan produk takaful wakaf. Selain mengukuhkan pendidikan bersepadu dengan menggabungkan kekuatan ilmu agama dengan sains, teknologi, keusahawanan dan inovasi.

“Pengukuhan akidah juga perlu diberi tekanan dengan memastikan anak Johor terus berpegang kepada Ahli Sunmah Wal Jamaah yang diwarisi sejak berzaman.

“Apabila kesemua inisiatif ini diperkasakan, ia bakal menjadikan Johor sebagai rujukan antarabangsa dalam pentadbiran Islam moden,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top