Johor wujudkan jawatankuasa khas pantau pembinaan, penyelenggaraan sekolah

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Johor akan mewujudkan jawatankuasa khas bagi memantau projek pembinaan serta penyelenggaraan sekolah dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Dr Muhamad Naqib Md Ghazali berkata, cadangan itu akan dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat banyak isu berkaitan sekolah termasuk infrastruktur dan penyelenggaraan.

Katanya, dalam lawatan ke lapangan sebelum ini, antara perkara sering dibangkitkan pengetua atau guru besar adalah kerosakan bumbung, longkang serta kemudahan lain.

“Justeru, hasil perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) baru-baru ini, kerajaan negeri mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk pemantauan dan menyelesaikan permasalahan infrastruktur serta penyelenggaraan sekolah.

“Penyelenggaraan sekolah bukan hanya bergantung kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua atau guru besar sahaja kerana ini merupakan isu besar yang saya lihat ketika turun ke lapangan,” katanya pada sidang media hari pertama operasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, di Parit Yaani, dekat sini, hari ini.

Dr Muhamad Naqib berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan penting bagi memastikan masalah sekolah dapat dikenal pasti, dirancang dan diselesaikan mengikut keutamaan.

Katanya, perancangan penyelenggaraan wajar dibuat untuk tempoh lima tahun dengan memberi keutamaan kepada sekolah yang mempunyai keperluan paling mendesak.

“Mungkin kita utamakan sekolah kategori A yang keperluannya lebih mendesak, kemudian kategori B dan C. Dalam tempoh lima tahun, kerajaan negeri ada perancangan yang baik bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top