am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Johor yakin dapat mengurangkan kuantiti kediaman tidak terjual di negeri itu yang kini lebih 6,000 unit ‘overhang’ menerusi beberapa strategi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri juga merancang strategi bagi memastikan kediaman tidak terjual yang berharga lebih RM500,000 dapat dijual menerusi penganjuran Expo Perumahan Johor yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini selama empat hari.
Katanya sebanyak 21,000 unit kediaman termasuk kediaman tidak terjual ini akan ditawarkan, bukan sahaja kepada bangsa Johor tetapi rakyat negeri lain dan pembeli berpotensi dari Singapura.
“Kita ada beberapa isu yang kita sudah rancang dua atau tiga strategi untuk turunkan kediaman yang tidak terjual di Johor bernilai RM500,000 ke atas.
“Pertamanya apabila kerajaan Singapura naikkan cukai tentulah di peringkat pemaju perumahan Johor mendapat faedah.
“Kedua, pada Julai ini kerajaan akan menganjurkan Expo Perumahan Johor dan ini membabitkan pemaju yang memiliki rumah atau kediaman yang tidak terjual.
“Expo ini bukan sahaja membabitkan rumah mampu milik tetapi termasuk rumah mahal. Setakat ini untuk rumah ‘subsale’ ada buat permohonan tetapi kita sudah terima 40 pemaju perumahan di Johor untuk turut serta yang saya rasakan ia akan menjadi antara expo perumahan terbesar di Malaysia.
“Dengan penganjuran expo ini saya yakin akan turunkan jualan perumahan tidak terjual di negeri ini, selain kenaikan cukai Singapura tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Raya Putra, Bandar Putra Kulai di sini, hari ini.
Pada minggu lalu, Singapura menggandakan kadar cukai bagi warga asing yang membeli hartanah kediaman daripada 30 peratus kepada 60 peratus untuk mengelakkan daya apungan susulan permintaan hartanah mewah yang berlebihan daripada pembeli luar negara serta mengekalkan kemampuan memiliki rumah rakyat tempatan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Jafni ketika ditanya sama ada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan menjejaskan bakal pembeli RMMJ, Mohd Jafni berkata, ia akan memberikan sedikit kesan, namun pembeli diingatkan supaya tidak bimbang berikutan kerajaan negeri masih menanggung subsidi.
Katanya permintaan bagi RMMJ juga dilihat masih tidak mencukupi, sekali gus menunjukkan pembeli tidak membuat penilaian berdasarkan kenaikan OPR
“Nilai rumah RMMJ ini semua orang kena faham, ia masih disubsidi oleh kerajaan. Rumah RMMJ bernilai RM150,000 tetapi harga pasaran di luar adalah RM300,000, maknanya kenaikan OPR tidak akan menjejaskan pembeli,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




