Jojo mahu buat dunia terpegun di Jepun

Jojo mahu buat dunia terpegun di Jepun

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar memberi bayangan awal cukup jelas bahawa dia akan tampil di Jepun bukan sekadar bertarung, tetapi untuk membuatkan dunia terpegun.

Menjelang aksi menentang bintang Jepun, Shimon Yoshinari dalam saingan ONE Samurai 1 di Ariake Arena pada 29 April ini, Johan tampil penuh keyakinan terhadap kemampuan dirinya.

“Ada dua jenis manusia di dunia ini… yang menakjubkan dan yang terpegun. Pada 29 April, bersedialah untuk terpegun kerana saya adalah menakjubkan.

“Segala kerja keras, segala pengorbanan dan segala doa akan membuahkan hasil, Insya-Allah.

“Saya berada dalam keadaan terbaik dari segi mental dan fizikal. Sembilan hari lagi sebelum pertarungan paling penting dalam karier saya. Sekarang ayuh kita berseronok sebab sudah tiba masa makan sushi,” katanya menerusi media sosial miliknya.

Johan atau lebih mesra disapa Jojo, sebelum ini menyatakan bahawa perlawanan kali ini bukan sesuatu yang biasa kerana ia akan menjadi satu momen yang cukup besar dalam kariernya.

Untuk rekod, kali terakhir Johan beraksi adalah pada Februari lalu apabila dia menundukkan wakil Myanmar, Ye Yint Naung, menerusi keputusan sebulat suara pada ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok.

Johan sudah membuat 11 penampilan di ONE Championship dan berjaya meraih lapan kemenangan termasuk lima knockout (KO) serta satu kemenangan technical knockout (TKO), selain mengalami tiga kekalahan setakat ini.

Yoshinari bukan lawan mudah apabila memiliki rekod profesional 24 kemenangan dan hanya satu kekalahan sepanjang kariernya dalam gelanggang muay thai.

Rekod dalam ONE Championship juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Yoshinari mencatat empat kemenangan daripada lima pertarungan, termasuk dua kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri dan dua lagi melalui kemenangan TKO.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top