Jojo saran petarung muda dihantar ke Sukan Sea Thailand

Jojo saran petarung muda dihantar ke Sukan Sea Thailand

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menegaskan Sukan Sea bukan tempat untuknya dan lebih wajar untuk memberi peluang itu kepada petarung muda negara yang lain.

Ini kerana Johan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Jojo’ berkata, Malaysia mempunyai ramai petarung berbakat untuk diketengahkan ke temasya itu.

Justeru, katanya, adalah lebih baik, dia memberi fokus di pentas One Championship yang menjadi peringkat tertinggi pertarungan muay thai.

“One Championship adalah kejohanan tertinggi, jadi buang masa untuk saya beraksi di Sukan Sea.

“Jadi saya rasa lebih baik kita memberi peluang kepada atlet muda untuk menyerlahkan bakat mereka,” katanya.

Sebagai rekod, muay thai menawarkan pingat emas apabila dipertandingkan di Sukan Sea Thailand, tahun depan.

Johan, 18, kini berada di Thailand dan sedang menjalani latihan untuk berdepan dengan jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam pertarungan ONE 170 di Impact Arena di Bangkok pada 24 Januari depan.

Ia adalah penampilan kelapan buat atlet kelahiran Sarawak yang mempunyai rekod 6-1 dan mengakui tidak sabar untuk beraksi menentang Estupinan selepas menjalani latihan intensif di Thailand sejak dua bulan lalu.

“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang di Thailand kerana di sana ramai rakan latihan yang berkualiti berbanding di Malaysia.

“Saya sudah bersedia berdepan Estupinan biarpun dia memang seorang petarung yang baik dan berkualiti.

“Tetapi saya dapat rasakan rekod yang dia peroleh sebelum ini menentang lawan tidak begitu kuat,” katanya.

Estupinan mempunyai rekod bersih apabila menang semua empat pertarungan sebelum ini.

Dalam pertarungan pada September lalu, Jojo mendapat kemenangan ‘knockout’ (KO) selepas mengalahkan Josue Cruz pada aksi ONE 168 di Denver, Colorado, Amerika Syarikat.

Hasil kemenangan itu, Jojo membawa pulang bonus prestasi berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM223,199), sekali gus melebarkan rekodnya di ONE kepada 6-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top