JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengucapkan takziah kepada 53 keluarga kru kapal selam KRI Nanggala 402 yang tenggelam di perairan Bali.
“Kita semua warga Indonesia berasa sedih atas tragedi ini, terutama kepada keluarga kru kapal selam.
“Semua warga Indonesia menyatakan kesedihan yang mendalam atas kejadian ini, terutama kepada keluarga kru kapal selam,” katanya yang menyifatkan tentera laut yang hilang sebagai ‘patriot terbaik’ Indonesia.
KRI Nanggala 402 ditemui pecah di dasar laut di perairan Bali hari ini dengan semua 53 kru disahkan meninggal dunia.
Ketua Ketua Turus Tentera Laut Indonesia, Yudo Margono, mengesahkan serpihan kapal selam yang hilang Rabu lalu itu ditemui pecah kepada tiga bahagian.
Ketua Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto, mengesahkan kepada wartawan bahawa semua 53 kru kapal selam berkenaan sudah meninggal dunia.
Pihak berkuasa berkata mereka menerima isyarat dari lokasi pada kedalaman lebih 800 meter (m) awal pagi semalam dan menggunakan kapal selam penyelamat milik Singapura, MV Swift Rescue, bagi mendapatkan pengesahan visual.
Tjahjanto berkata lebih banyak serpihan kapal selam KRI Nanggala 402 ditemui awal pagi tadi termasuk sebuah sauh dan sut keselamatan dipakai oleh kru.
Kapal perang, pesawat dan ratusan anggota tentera dikerah dalam misi mencari KRI Nanggala 402 di zon seluas 34 kilometer persegi sejak ia dilaporkan hilang Rabu lalu ketika menjalani latihan ketenteraan.
KRI Nanggala 402 seberat 1,300 tan jenis 209 diesel elektrik adalah kapal selam penyerang yang dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981.
Aset itu pernah dibaik pulih pada 1989 di Jerman dan kemudian pada 2012 di Korea Selatan dengan strukturnya diganti serta naik taraf ke atas sistem penggerak, sonar dan senjata. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




