Jonassen beri amaran keras kepada perseorangan

Jonassen beri amaran keras kepada perseorangan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen memberi amaran awal kepada barisan pemain perseorangan agar segera memperbaiki prestasi jika tidak mahu berdepan detik lebih sukar di pentas Piala Thomas tahun depan.

Jonassen, 50, yang jelas kecewa dengan prestasi longlai dipamerkan Leong Jun Hao dan Justin Hoh pada aksi final acara berpasukan lelaki semalam, menegaskan masa semakin suntuk sebelum bermulanya kempen Piala Thomas yang bakal berlangsung di Horsens, Denmark, dari 23 April hingga 3 Mei tahun depan.

Pada final di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit, semalam, Malaysia tunduk 0-3 kepada seteru tradisi, Indonesia, kekalahan yang sekali lagi menampakkan jurang besar dalam perseorangan negara.

Jun Hao bergelut mencari rentak dan terpaksa akur tewas 12-21, 19-21 kepada Alwi Farhan, manakala Justin pula tidak mampu menahan asakan pemain ranking 48 dunia, Muhammad Zaki Ubaidillah sebelum tewas 12-21, 14-21.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tenggelam apabila tumpas mudah 12-21, 12-21 kepada gandingan ranking kelapan dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

“Saya memang tak berpuas hati dengan apa yang saya lihat dalam acara berpasukan. Kami perlu memperbaiki banyak perkara dan kami perlu lakukannya dengan cepat jika mahu ada peluang realistik untuk mencabar dalam tempoh kira-kira empat setengah bulan lagi sebelum Piala Thomas,” katanya.

Menurutnya, kekalahan itu sepatutnya menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain perseorangan setiap kali mereka hadir ke sesi latihan.

“Mereka perlu hidup dengan komitmen itu sepanjang masa. Kekalahan ini sepatutnya membakar semangat mereka. Mereka perlu sanggup mengikut perancangan yang sudah dicadangkan pasukan kejurulatihan,” katanya.

Mengulas lanjut prestasi dua pemain mudanya itu, Jonassen berkata apa yang berlaku semalam tidak sepatutnya terjadi.

“Sudah tentu saya kecewa. ‘Marah’ bukan perkataan yang saya gunakan kerana saya tahu mereka berusaha sebaik mungkin. Tapi ia membuka mata saya mengenai beberapa perkara yang kita perlu perbaiki jika benar-benar mahu mencabar di peringkat tertinggi,” katanya.

Kekalahan semalam meneruskan rekod pahit apabila Malaysia tewas empat kali kepada Indonesia dalam lima final terakhir iaitu edisi 2017 di Kuala Lumpur, 2019 di Filipina, 2023 di Kemboja dan kini sekali lagi di Thailand.

Skuad negara juga kempunan meraih kejuaraan selepas tumpas di tangan Thailand pada edisi 2021 di Vietnam.

Dengan kegagalan terbaharu itu, sasaran untuk membawa pulang emas dalam acara berpasukan lelaki yang kali terakhir dimenangi pada Manila 2005, sekali lagi tidak kesampaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top