Jordan bangga, tiada tekanan aksi sulung Piala Dunia

Jordan bangga, tiada tekanan aksi sulung Piala Dunia

Santa Clara: Jordan berasa bangga, bukannya tertekan menjelang penampilan sulung di pentas Piala Dunia menentang Austria dalam aksi pertama Kumpulan J, kata kapten pasukan, Ehsan Haddad.

Pasukan yang terkenal dengan kekuatan serangan balas itu menjaringkan 32 gol sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia dan kini memburu status sebagai pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati pada penampilan sulung sejak Slovakia melakukannya pada tahun 2010.

“Kami menyertai kejohanan ini buat kali pertama dalam sejarah kami. Ia satu sumber kebanggaan yang besar buat kami. Ini lebih kepada kebanggaan berbanding tekanan. Impian kami adalah untuk berada di sini.

“Kami mempunyai keyakinan diri. Tekanan yang pernah kami rasai membawa kami ke tahap ini. Jadi mari kita lihat sejauh mana ia akan membawa kami,” kata Haddad.

Bagaimanapun, Jordan yang dikenali sebagai Al-Nashama atau ‘golongan bangsawan’ di negara mereka tidak akan mendapat laluan mudah apabila berdepan Austria yang kembali ke Piala Dunia selepas 28 tahun tidak beraksi di pentas itu.

Selepas aksi menentang Austria, Jordan akan berdepan Algeria sebelum bertemu juara bertahan, Argentina.

Kehadiran di Piala Dunia juga dianggap satu lonjakan besar buat Jordan memandangkan sebahagian besar skuad mereka beraksi bersama kelab tempatan atau di Timur Tengah, dengan hanya pemain sayap Mousa Al Tamari bermain di Eropah bersama kelab Perancis, Stade Rennais.

Haddad berkata Jordan berasa bertuah dapat beraksi di Piala Dunia ketika pasukan seperti Itali gagal melayakkan diri, namun mereka tidak mahu sekadar menjadi pelengkap jadual.

“Terdapat ramai pemain hebat dalam sejarah yang tidak berada di sini hari ini. Ini menjadi sumber motivasi untuk kami memberikan segala yang termampu.

“Kami akan berjuang, bersabar sepanjang 90 minit dan berpegang kepada pelan permainan kami,” katanya.

Pengendali Jordan, Jamal Sellami, mengakui Austria memiliki pemain tengah yang berkualiti selain kuat dalam serangan dan permainan udara, namun beliau tetap yakin dengan perancangan pasukannya menjelang aksi di Santa Clara.

Sellami turut berkata permulaan positif yang dicatat beberapa wakil Asia dalam Piala Dunia kali ini termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia dan Qatar menjadi pembakar semangat buat skuadnya.

“Keputusan yang mereka capai amat menggalakkan. Semuanya positif dan menjadi motivasi kepada pemain untuk memberikan prestasi terbaik,” kata Sellami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top