ISTANBUL – Tentera Jordan pada awal Isnin berkata, pihaknya memintas lapan peluru berpandu yang menceroboh ruang udara negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Pihak tentera dalam satu kenyataan berkata, peluru berpandu berkenaan dimusnahkan sebelum menimbulkan sebarang ancaman terhadap orang awam atau harta benda.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata, pihaknya menyerang pangkalan udara Raja Hussein dan Azraq yang menempatkan aset Amerika Syarikat (AS) di Jordan menggunakan peluru berpandu balistik sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas Pulau Larak, Iran.
IRGC berkata, serangan itu melibatkan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan infrastruktur serta kawasan pesawat pejuang, dengan mendakwa ia menyebabkan “kerosakan besar”.
Pada Ahad, tentera AS menyerang dua pelancar Iran di Pulau Larak, sekali gus menandakan serangan pertama ke atas wilayah Iran sejak akhir Julai, menurut seorang pegawai AS kepada Axios.
Pelancar itu didakwa sedang dipersiapkan untuk melancarkan roket membawa periuk api laut ke Selat Hormuz.
IRGC berkata, beberapa anggotanya dan orang awam terbunuh serta cedera dalam serangan itu dan berikrar untuk bertindak balas. – Bernama