London: Juara dunia heavyweight dua kali, Anthony Joshua memberi penghormatan menyentuh hati kepada dua sahabat rapatnya yang maut dalam kemalangan jalan raya di Nigeria pada Disember lalu dengan menatu nama mereka di lengannya.
Sina Ghami dan Latif ‘Latz’ Ayodele terkorban dalam nahas berkenaan, manakala Joshua terselamat.
Petinju berusia 36 tahun itu menatu nama kedua-duanya di sebuah studio tatu di London, tepat di bawah tatu berbentuk peta benua Afrika yang sinonim dengan dirinya.
Joshua hanya mengabadikan dua nama ringkas, “LATZ” dan “SINA” pada lengan kanannya.
Fulham Tattoo memuat naik dua gambar di Instagram sambil menulis penghargaan kepada Joshua yang hadir tanpa pengumuman beberapa minggu lalu untuk sesi pertamanya di studio berkenaan.
Joshua sebelum itu menikmati kunjungan ke Nigeria selepas menumbangkan Jake Paul secara knockout pada Disember.
Walaupun dilahirkan di Watford, kedua-dua ibu bapanya berasal dari Nigeria dan beliau pulang ke tanah asal keluarganya selepas kemenangan bergaya di Miami.
Namun kegembiraan itu bertukar tragedi apabila Sina yang juga jurulatih kekuatan dan kecergasan serta Latz selaku jurulatih peribadi maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang berhenti di tepi jalan berhampiran Lagos.
Selepas menerima rawatan singkat di hospital, Joshua kembali ke England untuk menghadiri pengebumian sebelum memuat naik video di media sosial sambil menahan sebak ketika berkongsi mengenai kejadian itu buat kali pertama.
“Kali terakhir saya bercakap dengan kamu semua adalah di Miami. Kami ada banyak perancangan untuk menutup 2025 dengan baik. Kami pulang untuk bertemu keluarga dan semuanya berubah sekelip mata,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




