London: Anthony Joshua dan Tyson Fury akan berentap merebut gelaran juara heavyweight dunia selepas menandatangani kontrak dua pertarungan, menurut promoter Joshua, Eddie Hearn.
Bagaimanapun, lokasi dan tarikh pertarungan yang dinanti-nantikan antara dua jaguh Britain itu belum diumumkan.
Mengesahkan perjanjian, Hearn berkata kepada ESPN: “Bahagian yang sukar ialah mendapatkan semua orang menurunkan tandatangan.
“Tetapi ini usaha gigih semua pihak menjadikan ia kenyataan. Anda ada pesaing promoter, pesaing rangkaian dan petinju lawan.”
Hearn berkata venue yang bakal menyaksikan gelaran WBA, IBF dan WBO Joshua serta tali pinggang WBC milik Fury menjadi pertaruhan akan ditentukan sebulan lagi.
Menurut laporan, Arab Saudi di mana Joshua menang aksi ulangan menentang Andy Ruiz Jr pada 2019 menjadi pilihan utama.
Tetapi Hearn berkata kepada ESPN dia turut meninjau lapan atau sembilan lagi venue sekitar Timur Tengah, Asia, Eropah Timur dan Amerika Syarikat.
“Kami akan memuktamadkan tempat mungkin bulan depan,” katanya.
Joshua, 31, dan Fury, 32, masing-masing dijangka menerima £100 juta (RM571.67 juta) dengan bayaran 50-50 pada pertarungan pertama dan 60-40 dengan kelebihan milik juara bertahan pada aksi ulangan.
Sejak menewaskan Ruiz, Joshua mempertahankan gelarannya dengan menentang Kubrat Pulev di London pada Disember lalu dan Fury pula tidak bertarung lebih setahun sejak menewaskan Deontay Wilder pada Februari 2020 untuk meraih gelaran WBC.




