Joshua muncul semula selepas tragedi

Joshua muncul semula selepas tragedi

London: Bekas juara heavyweight dunia, Anthony Joshua membuat kemunculan awam pertama sejak terselamat dalam kemalangan maut di Nigeria yang meragut nyawa dua rakan rapatnya, hujung Disember lalu.

Joshua dilihat hadir di O2 Arena, London bagi menyaksikan pertarungan terakhir Derek Chisora yang berdepan Deontay Wilder dalam aksi ke-50 kariernya.

Petinju Britain itu sebelum ini memilih untuk berdiam diri sejak insiden tragis yang turut mengorbankan rakan karibnya, Sina Ghami dan Latif Ayodele.

Kemunculan Joshua bersama promoternya, Eddie Hearn, menarik perhatian apabila dia dilihat berjalan masuk ke arena dengan berpakaian sut sukan putih sambil diiringi kamera media.

Bagaimanapun, suasana sedikit janggal apabila Wilder yang pernah dikaitkan sebagai pencabar utama Joshua suatu ketika dahulu dilihat tidak memberikan sebarang reaksi ketika terserempak di dalam arena.

Menurut Hearn, Joshua memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali mempertimbangkan aksi di gelanggang.

Kali terakhir Joshua beraksi adalah sebelum Krismas lalu ketika menentang Jake Paul di Miami, namun spekulasi mengenai kemungkinan pertemuan dengan seteru Britain, Tyson Fury masih hangat diperkatakan.

Dalam temu bual di tepi gelanggang, Joshua meluahkan rasa teruja dapat kembali menyaksikan aksi tinju secara langsung.

“Seronok berada di sini. Tinju Britain sedang berkembang pesat dan saya tetap menyokong Derek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top