firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penggempur utama skuad Harimau Malaya, Paulo Josue sedia menyahut semboyan pasukan negara lebih awal, sekali gus sanggup mengorbankan cuti rehatnya demi negara.
Jelas Josue, aksi berdepan Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun depan cukup penting apabila kemenangan bakal membuka laluan lebih cerah untuk layak ke Arab Saudi nanti.
“Ketika ini Liga Malaysia (Liga M) sudah habis dan rata-rata pemain negara berehat selepas mengharungi perlawanan sepanjang musim lalu.
“Tempoh ini biasanya akan memberi peluang untuk pemain bercuti dan berehat sepuas-puasnya bersama keluarga dan ia tidak terkecuali dengan saya.
“Tetapi sekiranya pasukan negara mahu mengadakan latihan pusat lebih awal, saya sedia menyahut panggilan itu.
“Bagi saya latihan lebih awal penting kerana pemain pastinya perlukan kecergasan terbaik selepas saingan liga habis dan jurulatih perlu menyediakan pasukan dengan sebaiknya,” katanya kepada Arena Metro.
Semalam, akhbar ini melaporkan kemungkinan pengendali negara, Peter Cklamovski bercadang mengadakan latihan lebih awal sebelum melayan Vietnam.
Ia bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada di tahap optimum serta kemungkinan bakal diuji dalam dua aksi persahabatan bagi meningkatkan prestasi pemain.
Mengulas mengenai aksi dengan Vietnam itu, Josue yang juga tonggak naturalisasi negara akui pertemuan itu sukar kerana lawan antara pasukan pilihan dan terkuat di rantau ini.
“Vietnam bagi saya sebuah pasukan yang kuat. Jika kita mahu layak ke Piala Asia, kita perlu mengatasi Vietnam walau dengan apa cara sekali pun,” katanya.
Aksi dengan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun nanti adalah aksi kedua buat skuad negara dalam Kumpulan F selepas menang 2-0 ke atas Nepal pada 25 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd