Kerajaan bakal melaksanakan kajian terhadap had umur persaraan wajib susulan peralihan Malaysia ke arah status negara tua tidak lama lagi.
Kaji candangan had umur persaraan
Memetik laporan daripada Harian Metro, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan, kajian itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum sebarang keputusan dibuat.
“JPA akan melaksanakan kajian (mengenai had umur persaraan wajib). Kita akan buat kajian dahulu, (sebab perubahan had umur persaraan) belum dilaksanakan lagi,” katanya.
Cadangan had umur persaraan akan diteliti kerajaan
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Syarahan Perdana Keupayaan Negara dan Pertumbuhan Terarah: Pendekatan Berorientasikan Misi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sebelum ini, semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, kerajaan menyatakan akan meneliti semula had umur persaraan bagi menyesuaikan dasar dengan keadaan sosioekonomi semasa dan keperluan negara.
PM maklumkan belum di bawa ke kabinet
Perkara itu turut diperincikan dalam prakarsa kesembilan RMK-13 yang memberi tumpuan kepada keadilan sosial dan peluang sama rata untuk rakyat.
Dalam maklum balas berhubung cadangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa ia belum lagi dibawa ke Kabinet dan masih di peringkat kajian.
Artikel lain: Had usia persaraan 65 tahun? KESUMA teliti cadangan isu ‘panas’
Bagaimanapun, beliau berpandangan wajar untuk pertimbangan lanjut dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti peluang pekerjaan dan kos sara hidup.
Terdahulu, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said juga menyatakan cadangan menaikkan had usia persaraan kepada 65 tahun adalah munasabah memandangkan ramai rakyat masih aktif bekerja selepas usia.
Sumber: Harian Metro (Mohd Iskandar Ibrahim)