am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan sesi libat urus dengan penganjur RXZ Members di ibu pejabatnya di Putrajaya, esok, dengan tumpuan diberikan kepada penambahbaikan aspek keselamatan dan penganjuran program berkenaan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sesi yang dijadualkan pada jam 2.30 petang itu adalah yang pertama diadakan pihaknya bersama penganjur RXZ Members.
Katanya, ia bertujuan mendapatkan pandangan penganjur selain mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memastikan kelancaran program dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita adakan sesi libat urus ini kerana kita mahu mendengar pandangan daripada mereka berkaitan dengan penganjuran program dan kami juga akan mencadangkan beberapa penambahbaikan untuk memastikan kelancaran program RXZ Members.
“Kami bukan mahu menyekat program tetapi apa yang paling penting ialah kami mahu memastikan keselamatan pengguna jalan raya, bukan hanya kepada peserta sendiri tetapi seluruh pengguna jalan raya.
“Contohnya penganjuran yang lalu 11 kematian dan daripada 11 kematian itu, ada yang terbabit adalah bukan peserta,” katanya pada sidang media Ops Ekstrem di JPJ Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya mahu memastikan penganjuran program berkenaan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya.
Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan JPJ akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peserta program himpunan motosikal termasuk RXZ Members dan mengadakan sesi libat urus dengan penganjur susulan kemalangan yang sering dikaitkan dengan penganjuran acara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

