JPJ gantung tugas anggota dirakam potong garisan berkembar

JPJ gantung tugas anggota dirakam potong garisan berkembar

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung tugas anggotanya yang dikesan memandu kenderaan secara melulu dalam kejadian di Simpang Pulai, Perak pada 9 Julai lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata anggota berkenaan memandu kenderaan jabatan dan memotong garisan berkembar dan pihaknya menerima aduan awam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan tindakan tegas sudah diambil.

“Tindakan tegas serta merta sudah dikeluarkan kepada anggota JPJ yang terbabit dengan pengeluaran notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar dan larangan memandu kenderaan jabatan.

“Selain itu, arahan menggantung tugas serta menempatkan anggota yang terbabit ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan lain yang membabitkan anggota terbabit untuk tindakan seterusnya.

Katanya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan JPJ yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“JPJ berterima kasih kepada orang awam yang merakam kesalahan dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Orang awam juga diseru untuk melaporkan aduan secara terus atau ‘real time’ jika terdapat mana-mana pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan menggunakan aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.

Terdahulu, rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan sebuah kenderaan JPJ cuba memotong sebuah lori di garisan berkembar tular di media sosial dan situasi itu membahayakan pengguna jalan raya lain di laluan bertentangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top