JPJ guna dron teknologi tinggi pantau kesalahan jalan raya di Kelantan

JPJ guna dron teknologi tinggi pantau kesalahan jalan raya di Kelantan

am@hmetro.com.my

Machang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperluaskan penggunaan dron berteknologi tinggi bagi memantau kesalahan pengguna jalan raya dan pelaksanaannya dimulakan di Kelantan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penggunaan dron berkenaan mampu membantu penguatkuasaan secara lebih berkesan dalam mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Katanya, dron berteknologi tinggi itu mampu melakukan pembesaran imej sehingga 200 kali, sekali gus membolehkan pegawai penguat kuasa melihat serta mengesan nombor pendaftaran kenderaan dengan jelas walaupun dari jarak jauh.

“Selain itu, dron ini juga mampu merakam serta menyimpan video dan gambar secara automatik melalui sistem storan yang disediakan bagi tujuan penguatkuasaan dan siasatan lanjut.

“Melalui rakaman berkenaan, anggota dan pegawai penguat kuasa boleh mengesan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya dan ia akan dijadikan bukti sebelum tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Singgah Sahur di Stesen Penguatkuasa (SPK) Labok, di sini, hari ini.

Katanya, bagi memastikan penggunaan dron yang selamat dan mematuhi peraturan, JPJ melatih anggota penguat kuasa sebagai pengendali dron bertauliah.

“Hanya anggota yang mempunyai lesen sah dibenarkan mengendalikan dron, manakala mereka yang tidak mempunyai lesen tidak dibenarkan berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kesalahan yang dikesan melalui dron tidak akan dikenakan saman secara terus, sebaliknya melalui proses siasatan terlebih dahulu menggunakan Notis 114.

“Melalui notis berkenaan, pesalah akan dipanggil untuk menghadiri sesi temu siasat di pejabat JPJ negeri bagi memberi penjelasan mengenai kesalahan yang dirakam oleh dron. Sekiranya gagal hadir, saman boleh dikeluarkan.

“Berbeza dengan kamera AwAS yang sudah digazetkan untuk mengeluarkan saman secara automatik dan dron pada masa ini hanya berfungsi sebagai alat pengesanan kesalahan sebelum tindakan lanjut diambil selepas proses pengesahan,” katanya.

Katanya, sehingga kini JPJ mempunyai lima unit dron termasuk yang berteknologi tinggi dan semuanya akan digunakan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 13 Mac ini bagi memperkukuh pemantauan dan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna.

“Pemantauan menggunakan dron juga akan membantu pihak JPJ mengawasi aliran trafik ketika orang ramai pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri, selain mengesan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top