am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan peranan media amat signifikan dalam mengukuhkan imej jabatan serta memastikan setiap dasar dan inisiatif disampaikan secara tepat kepada rakyat.
Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tanpa sokongan media, jabatan itu tidak mampu berdiri sendiri dalam menangani pelbagai isu, membina kefahaman masyarakat dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Berdasarkan pemantauan laporan dan liputan media terhadap program serta operasi jabatan tidak kurang daripada 10 laporan setiap bulan, malah sering melebihi angka tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media JPJ 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Rancang dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Aedy Fadly berkata, laporan yang disiarkan media bukan sekadar statistik, sebaliknya menjadi bukti komitmen dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang benar, sahih dan mudah difahami.
Katanya, kerjasama strategik antara JPJ dan media adalah elemen penting dalam mencapai matlamat keselamatan jalan raya, selain membantu membina persepsi positif terhadap usaha penguatkuasaan serta pendidikan yang dilaksanakan jabatan kepada masyarakat.
“Tanpa kerjasama ini, usaha edukasi, keselamatan dan budaya jalan raya tidak akan memberi impak besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sambutan besar-besaran akan diadakan sempena ulang tahun ke-80 JPJ pada Mei 2026.
Terdahulu, kira-kira 300 wakil media dihargai pada majlis itu dengan Media Prima menerima dua anugerah Anugerah Liputan Media Terbanyak yang dimenangi 999 (TV3) dan Anugerah Wartawan Mesra Soalan menerusi Nurul Hidayah Bahaudin (Harian Metro).
© New Straits Times Press (M) Bhd




