am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan melakukan operasi dan rondaan bagi membendung aktiviti mat rempit di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LSTIP) Pengkalan Chepa di sini.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, berkata setiap hari pegawainya akan membuat rondaan di lokasi berkenaan.
Katanya, pihaknya juga sudah menjalankan operasi sejak Sabtu lalu dan sebuah motosikal disita selain satu satu saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal.
“Kita hantar pegawai membuat rondaan di kawasan itu dan kita tidak menggalakkan kumpulan motosikal itu melepak di lokasi berkenaan kerana banyak lagi lokasi lain yang bersesuaian.
“Selain JPJ, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga ada turun bersama-sama membuat rondaan dan pemantauan di lokasi itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan konsisten membuat rondaan di kawasan itu bagi mengekang mat rempit dan menjamin keselamatan pengguna lain.
“Kita nasihatkan kepada semua supaya menghormati kawasan lapangan terbang itu kerana ia adalah untuk kegunaan orang awam.
“Kita minta mereka tidak mengganggu laluan di situ kerana banyak kenderaan keluar masuk,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan tindakan kumpulan mat rempit menjadikan balai pelepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebagai litar bukan hanya menyedihkan sebaliknya sangat memalukan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaiktaraf LTSIP bagi memastikan perjalanan udara yang lebih baik untuk Kelantan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




