JPJ keluar 163 dokumen kenderaan gantian buat mangsa kebakaran Putra Heights

JPJ keluar 163 dokumen kenderaan gantian buat mangsa kebakaran Putra Heights

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 163 gantian dokumen kenderaan secara percuma kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ Selangor membuka Kaunter Bergerak JPJ Mobile bagi memudahkan mangsa kebakaran mendapatkan gantian dokumen penting berkaitan kenderaan secara percuma.

Menurutnya, JPJ turut menawarkan perkhidmatan cetakan gantian dokumen Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Vokasional (GDL / PSV) secara percuma kepada mangsa.

“Sebanyak 114 gantian VOC dikeluarkan, CDL (28), LKM (17) dan GDL (4) dengan jumlah keseluruhan 163 gantian.

“JPJ juga telah menerima sebanyak 19 permohonan untuk urusan pembaharuan CDL dan sebanyak 58 khidmat nasihat kepada mangsa kebakaran di Putra Heights berkaitan insurans kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kaunter Bergerak JPJ Mobile sudah beroperasi pada Khamis lalu hingga semalam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights.

“Inisiatif ini adalah untuk meringankan beban dan memudahkan mangsa yang kehilangan dokumen kenderaan dengan menggantikan dokumen pengangkutan yang musnah atau hilang secara percuma tanpa perlu membuat laporan polis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top