am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pengusaha perniagaan menggaji warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan, selain pemilik kenderaan menyewakan kenderaan terutama motosikal kepada warga asing untuk mendapatkan keuntungan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, terdapat pengusaha yang sanggup melanggar undang-undang dengan menggaji warga asing sebagai pemandu lori atau bas semata-mata untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan.
“Warga asing tidak layak memohon Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) atau Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk memandu kenderaan barangan atau kenderaan perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita semalam.
Muhammad Kifli berkata, tindakan rakyat Malaysia yang menyewakan kenderaan kepada warga asing turut menyumbang kepada masalah itu, khususnya membabitkan motosikal persendirian.
“Warga asing tanpa dokumen sah tidak dibenarkan memandu atau memiliki kenderaan di jalan raya. Jika mereka tidak boleh memiliki atau menggunakan kenderaan ini secara sah, bagaimana mereka boleh memandunya?
“Selagi ada pihak yang bersekongkol dengan mereka, warga asing akan terus menggunakan kenderaan secara bebas di jalan raya kita,” katanya.
Muhammad Kifli berkata, JPJ mengeluarkan 481,119 saman dari 2024 hingga September tahun ini, termasuk 183,300 saman pada 2024, 191,676 pada 2025 dan 106,143 dari Januari hingga September tahun ini.
Beliau berkata, pemandu mahupun pemilik kenderaan tidak dibenarkan menyelesaikan saman secara kompaun dan kes perlu dibawa ke mahkamah.
Katanya, tindakan tegas turut dikenakan terhadap syarikat yang menggaji warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan.
“Lori atau bas yang dipandu warga asing boleh disita dan tindakan ini sudah dilaksanakan sejak tiga bulan lalu kerana isu berkenaan semakin berleluasa.
“Ia dilakukan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana membabitkan kenderaan perdagangan,” katanya.
Mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda antara RM1,000 hingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Muhammad Kifli berkata, warga Rohingya antara warga asing yang paling kerap didapati menunggang motosikal, diikuti warga Pakistan dan Indonesia.
Bagi lori pula, katanya, warga Bangladesh, Indonesia dan India antara warga asing yang didapati memandunya.
Beliau berkata, motosikal lazimnya disewakan kepada warga asing pada kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan.
“Motosikal roda tiga khususnya banyak digunakan di Pantai Timur dan biasanya digunakan untuk mengumpul bahan buangan atau bahan yang boleh dikitar semula, dengan kebanyakannya dikendalikan warga Rohingya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




