JPJ Kuala Lumpur ambil tindakan mahkamah 'heret' 31 syarikat pengangkutan

JPJ Kuala Lumpur ambil tindakan mahkamah 'heret' 31 syarikat pengangkutan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala. Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengambil tindakan mahkamah ke atas 31 syarikat pengangkutan dengan jumlah denda keseluruhan mencecah RM463,000 atas pelbagai kesalahan setakat 11 Mei lalu.

Ketegasan itu dibuktikan apabila sebuah syarikat yang disabitkan kesalahan membawa muatan berlebihan baru-baru ini dikenakan denda maksimum sebanyak RM85,000.

Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha dan syarikat pengangkutan yang mementingkan laba perniagaan semata-mata sehingga merisikokan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“JPJ WPKL ingin memberi peringatan tegas kepada semua pengusaha dan syarikat pengangkutan bahawa keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan undang-undang dan keselamatan awam.

“Mana-mana syarikat yang didapati terus melakukan pelanggaran undang-undang secara berulang boleh berdepan tindakan lebih keras termasuk sitaan kenderaan, perintah lucut hak oleh mahkamah serta tindakan terhadap permit dan lesen operasi syarikat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, JPJ WPKL melalui Bahagian Penguatkuasa melaksanakan Operasi Khas Lebih Muatan di sekitar ibu negara yang bermula pada 15 Mei hingga 18 Mei (hari ini).

Fokus utama operasi disasarkan kepada laluan utama keluar masuk kenderaan perdagangan, kawasan pembinaan, tapak projek pembangunan serta kawasan perindustrian yang berisiko tinggi berlaku pelanggaran syarat teknikal dan lebih muatan.

Mengulas lanjut mengenai statistik penguatkuasaan dari Januari hingga pertengahan Mei 2026, Hamidi berkata, sebanyak 65,016 kenderaan perdagangan telah diperiksa di sekitar ibu kota.

“Daripada jumlah itu, 3,082 kenderaan telah diambil tindakan manakala 5,329 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan serta pelanggaran syarat Lesen Kenderaan Motor dan Keperluan Tahap Perkhidmatan.

“Dalam operasi ini juga, JPJ WPKL turut menahan 22 buah kenderaan yang didapati melakukan kesalahan serius, termasuk melibatkan lapan pemandu warga asing dan 14 pemandu tempatan,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan saman dan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), JPJ WPKL tidak akan teragak-agak memohon perintah lucut hak terhadap kenderaan yang mengulangi kesalahan berat.

“Kesalahan lebih muatan bukan sahaja merosakkan jalan raya, malah meningkatkan risiko kemalangan. Penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan demi keselamatan pengguna jalan raya dan menjaga integriti sistem pengangkutan negara,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya diseru untuk menyalurkan aduan berserta butiran lengkap melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau menerusi e-mel rasmi di aduantrafik@jpj.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top