Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan saluran tambahan bagi bidaan nombor pendaftaran kenderaan iaitu JPJeBid Mobile secara ujian rintis mulai esok.
Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengguna boleh memuat turun aplikasi JPJeBid Mobile menerusi Apple AppStore, Google PlayStore atau Huawei AppGallery dan log masuk menggunakan akaun JPJeBid sedia ada.
Menurutnya, sepanjang tempoh ujian rintis itu, saluran bidaan nombor pendaftaran kenderaan sedia ada portal JPJeBid https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/ dan aplikasi JPJeBid masih boleh digunakan seperti biasa.
“Aplikasi JPJeBid Mobile dilengkapi dengan beberapa fungsi baharu antaranya mesra pengguna, navigasi, notifikasi dan ciri-ciri personalisasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aedy Fadly berkata, pembangunan aplikasi itu menggunakan teknologi mudah alih terkini bagi memastikan platform yang disediakan lebih kukuh dan cekap dalam menangani isu ketercapaian terhad sistem JPJeBid sedia ada.
Bagi memastikan aplikasi JPJeBid Mobile memberikan perkhidmatan cekap dan berkesan, katanya, JPJ akan melaksanakan kaji selidik secara dalam talian bermula esok melalui peti masuk akaun pengguna JPJeBid secara berperingkat.
“Maklum balas daripada pengguna JPJeBid sepanjang tempoh ujian rintis amat penting bagi tujuan penambahbaikan aplikasi JPJeBid Mobile,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd