mhafis@mediprima.com.my
Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperluas saluran pendaftaran JPJeID di Institut Memandu (IM) seluruh negara, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJeID adalah akaun yang mengandungi ID Pengguna dan Kata Laluan yang perlu dimiliki secara sah oleh orang awam (pemilik MyKad dan MyPR) untuk mendaftar masuk ke akaun portal awam MySIKAP dan aplikasi MyJPJ.
Menurutnya, dengan mendaftar JPJeID, orang awam berstatus warganegara boleh melaksanakan 38 urus niaga JPJ secara dalam talian, termasuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan pelesenan pemandu.
“Sebagai contoh, individu yang lulus ujian Kurikulum Pendidikan Pemanduan (KPP01) kini boleh terus memohon Lesen Belajar Memandu (LDL) melalui portal awam MySIKAP dan setelah pembayaran berjaya, LDL akan dipaparkan secara digital menerusi aplikasi MyJPJ.
“Semua calon belajar memandu serta orang awam boleh mendaftar JPJeID di mana-mana IM untuk melaksanakan urus niaga di portal awam MySIKAP dan aplikasi MyJPJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aedy berkata, JPJ berharap melalui inisiatif dan usaha tambahan ini, perkhidmatan jabatan akan lebih mudah diakses oleh orang awam dan pendigitalan perkhidmatan JPJ dapat dijayakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd