suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Shah Alam: Sebanyak 13,484 bas ekspres dan bas persiaran diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sepanjang 2025, dengan 277 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, daripada jumlah itu, 11,575 adalah bas ekspres, manakala 1,909 bas persiaran.
“Antara kesalahan paling banyak direkodkan ialah kesalahan teknikal seperti lampu dan isyarat tidak berfungsi sebanyak 107 kes.
“Turut dikesan, 80 kes tiada lesen perkhidmatan kenderaan awam (PSV) serta 57 kes tiada lesen memandu kompeten (CDL),” katanya pada sidang media di Terminal 17, di sini, semalam.
Menurutnya, 33 kes membabitkan tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan 33 kes tiada insurans.
“Bagi kesalahan lain, terdapat 10 kes membabitkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) selain dua berkaitan langgar syarat permit,” katanya.
Mengulas lanjut, Azrin berkata, pihaknya turut merekodkan 36 kes tidak memakai tali pinggang keselamatan membabitkan penumpang.
Selain itu katanya, tiga kes dikesan memandu di lorong kanan secara berterusan dan empat kes tayar botak.
“Terdapat juga satu kes menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, 712 notis dikeluarkan termasuk notis saman, notis arah periksa serta notis larangan penggunaan kenderaan.
“Setiap kesalahan bergantung kepada jenisnya. Jika membabitkan pemanduan berbahaya atau tidak mengikut peraturan, tindakan dikenakan terhadap pemandu.
“Manakala kesalahan berkaitan dokumen seperti LKM akan dirujuk kepada pengusaha bas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




