am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Taktik terbaharu warga Singapura membawa masuk penumpang dari republik itu menggunakan kenderaan yang dijadikan perkhidmatan e-hailing atau e-panggilan dengan mengenakan caj yang mahal akhirnya membawa padah.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sudah menghidu kegiatan itu sebelum ini akhirnya menahan empat pemandu atau pemilik kenderaan Singapura itu yang disyaki menjalankan perkhidmatan awam sewa-upah berkenaan tanpa lesen yang sah.
Tangkapan dan sitaan ke atas Toyota Alphard, Toyota Vellfire, van Toyota Hiace dan Honda Spada itu dibuat dalam satu Ops Khas E-hailing Kenderaan Asing yang dilancarkan jabatan itu sejak 9 Ogos lalu di sekitar daerah ini.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ketika operasi, empat kenderaan dipandu empat lelaki warga Singapura berusia antara 30-an hingga 40-an itu membawa penumpang republik berkenaan dan juga negara lain melalui laluan Singapura atas tujuan melancong di negara ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tidak mempunyai lesen pengendali yang sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tidak mempunyai cukai jalan Malaysia.
“Mereka ini tiada permit dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan di Malaysia. Bayangkan kos tambang perjalanan dari Singapura ke negara ini dari serendah SGD180 (kira-kira RM590) hingga ribuan SGD (Dolar Singapura).
“Sebagai contoh, dari republik itu ke JB Sentral dikenakan caj SGD180 (kira-kira RM590) bagi seorang penumpang untuk perjalanan sehala dan SGD200 (kira-kira RM655) jika ke Legoland, manakala ada yang ke Ipoh, Perak mereka kenakan caj SGD1,200 (kira-kira RM3,935) bagi setiap perjalanan.
“Tindakan mereka ini akan menjadi buruk sekiranya berlaku kemalangan dalam Malaysia, ia membabitkan penumpang luar dan kita tidak mahu ada pihak menjalankan perkhidmatan e-hailing tanpa lesen sah kerana mahu memastikan jalan raya kita selamat dengan pemandu, pelancong dan penumpang yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Khas E-hailing Kenderaan Asing di JPJ Negeri Johor di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah Pengangkutan Jalan Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan.
Menurut Aedy Fadly, pihaknya akan melaksanakan siasatan terperinci bagi mengenal pasti dan membanteras pihak yang tidak bertanggungjawab itu daripada terus mengambil kesempatan melakukan pelanggaran undang-undang negara.
“Tindakan penahanan dan penyitaan kenderaan dilakukan mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan disiasat mengikut Seksyen 16(1) akta sama kerana mengadakan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah di negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




