JPJ sita 95 kenderaan dipandu warga asing

JPJ sita 95 kenderaan dipandu warga asing

KANGAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menyita sebanyak 95 kenderaan dipandu warga asing atas pelbagai kesalahan dari awal tahun ini sehingga 14 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 65 buah kenderaan adalah milik warga tempatan manakala baki 30 lagi kepunyaan warga asing termasuk sebuah kenderaan mewah.

Pengarah JPJ negeri, Noraini Mohd Nawi berkata, selain itu, sejumlah 741 notis saman turut dikeluarkan terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan bagi tempoh sama.

“Antara kesalahan yang paling banyak dikesan sepanjang operasi penguatkuasaan itu adalah melibatkan pelesenan pemandu, pelesenan kenderaan, teknikal, cermin gelap dan lain-lain kesalahan. Kenderaan yang disita itu didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya ketika ditemui di depoh JPJ negeri, di sini, hari ini.

Noraini berkata, operasi yang dijalankan itu memberi tumpuan terhadap penglibatan segelintir warga asing yang dikesan menggunakan kenderaan mewah berdaftar di negara ini namun gagal mematuhi peruntukan undang-undang jalan raya.

Katanya, antara kesalahan seperti memandu tanpa memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah, menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans, tidak memiliki Permit Memandu Antarabangsa (IDP), mempunyai tunggakan saman serta pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi kesalahan yang diambil tindakan mulai 16 Jun tahun ini melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh dan Tiada Lesen Memandu dan tindakan penyelesaian akan diambil melalui proses pendakwaan di mahkamah.

“Kenderaan mereka juga hanya akan dilepaskan apabila proses pendakwaan tersebut selesai,” katanya.

Noraini memberitahu, pada tahun ini, sebanyak 243 kenderaan telah diambil tindakan membabitkan 468 kesalahan dengan jumlah kutipan saman berjumlah RM89,200. – UTUSAN 

Scroll to Top