KANGAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan menyita mana-mana kenderaan Thailand yang memasuki negara ini dan berada pada jarak dua kilometer dari pintu masuk sempadan yang tidak mempunyai Permit Edaran Antarabangsa (ICP).
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sama sekali dengan mana-mana kenderaan dari Thailand yang memasuki Malaysia tanpa ICP itu.
Katanya, tindakan tegas itu juga berikutan pertambahan kenderaan yang dijangka memasuki negara ini menjelang Aidilfitri.
“Sekiranya dikesan melakukan kesalahan itu, JPJ akan mengambil tindakan menyita kenderaan tersebut. Mana-mana kenderaan yang tidak mempunyai ICP dan berada melebihi dua kilometer daripada sempadan negara, mereka akan ditahan dan disita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan JPJ Perlis, di sini, semalam.
Beliau mengingatkan mana-mana kenderaan Thailand yang ingin memasuki Malaysia supaya mendapatkan ICP di Stesen Kawalan Penguatkuasa JPJ yang terdapat di sempadan.
Katanya, kebenaran ICP yang sah untuk tempoh 90 hari juga hanya terpakai buat kenderaan persendirian sahaja dan tidak dibenarkan bagi aktiviti lain termasuk urus niaga di negara ini.
“JPJ juga tidak akan mengeluarkan ICP sekiranya kenderaan asing tersebut mempunyai saman tertunggak yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kenderaan yang mempunyai tunggakan saman juga akan ditahan sekiranya didapati berada di negara ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bersempena Ops Hari Raya Aidilfitri dijangka bermula 13 Mac ini, JPJ akan menumpukan kepada beberapa elemen penguatkuasaan malah perincian lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.-UTUSAN




