harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Prebet sapu warga India ditahan ketika membawa penumpang dari sebuah hotel di Bandar Sunway ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki warga asing berusia 30-an itu mendakwa baru hari pertama menjalankan kegiatan itu ketika ditahan.
“Lelaki berkenaan yang mempunyai lesen percubaan (P) mendakwa melakukan kegiatan itu untuk membantu syarikatnya.
“Berdasarkan resit pelanggan mendapati pemandu warga asing terbabit mengenakan tambang RM180,”katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pihak JPJ bertindak menyita kenderaan jenis Toyota Innova terbabit yang didaftarkan di atas nama sebuah syarikat persendirian.
Katanya, JPJ Selangor memandang serius isu berkenaan dan memberi jaminan pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan.
“JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd