JPN Sarawak mula siasatan dalaman pelajar kena renjatan elektrik di sekolah

JPN Sarawak mula siasatan dalaman pelajar kena renjatan elektrik di sekolah

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan aspek keselamatan di sekolah terlibat susulan kes pelajar terkena renjatan elektrik.

JPN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa.

“Kawasan kejadian telah ditutup. Murid, guru dan seluruh warga sekolah tidak dibenarkan menghampiri kawasan kejadian sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat,” katanya hari ini.

Pada masa sama, JPN Sarawak juga memastikan kebajikan seorang lagi murid yang sedang mendapat rawatan dan mendoakan agar diberi kesembuhan segera.

“JPN Sarawak menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumandy.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos berkata, seorang pelajar Tingkatan Empat meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di kawasan mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Mukah, Sarawak semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga dilaporkan parah, manakala seorang lagi terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa berusia 15 tahun yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Daro dan seterusnya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN

Scroll to Top