JSJK rekod 787 kes penipuan pelaburan Januari lalu, kerugian RM115 juta

JSJK rekod 787 kes penipuan pelaburan Januari lalu, kerugian RM115 juta

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman merekodkan 787 kes penipuan pelaburan tidak wujud dengan kerugian RM115 juta dalam tempoh sebulan pada Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, berdasarkan perbandingan dalam tempoh sama pada Januari tahun lalu, 732 kes dicacatkan dengan kerugian RM123 juta.

“Berlaku peningkatan kes sebanyak lapan peratus bagi tempoh terbabit.

“Namun, nilai kerugian mencatatkan penurunan tujuh peratus atau RM8.4 juta,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Rusdi berkata, masyarakat perlu mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan diri daripada ditipu oleh pelaburan tidak wujud antaranya menyemak kelayakan, berhati-hati dengan tawaran yang terlalu baik serta jangan bayar wang pendahuluan.

Katanya, selain itu orang ramai diminta untuk memeriksa ulasan dan maklumat latar belakang, elakkan berkongsi maklumat peribadi secara terbuka serta membaca terma dengan teliti.

“Usah mudah terpedaya dengan iklan ‘kelas belajar pelaburan percuma’ di media sosial.

“Antara taktik sindiket ialah meminta mangsa membuat bayaran komisen terlebih dahulu sebelum mangsa dimaklumkan bahawa wang pengeluaran disekat oleh Bank Negara Malaysia.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membayar cukai tertentu sebelum menyedari diri tertipu,” katanya.

Menurutnya, masyarakat diingatkan untuk membuat semakan di portal rasmi semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi selain merujuk senarai ‘Top Ten’, senarai syarikat dikemas kini JSJK yang didapati paling kerap dilaporkan sebagai pemilik akaun bank penipu.

“Berdasarkan rekod, banyak syarikat berunsur perniagaan renovasi, pembinaan dan perdagangan dikesan sebagai akaun keldai.

“Pelaburan yang sah tidak akan meminta anda memindahkan wang ke akaun syarikat pihak ketiga atau individu yang tidak dikenali melalui aplikasi sembang,” katanya.

Katanya, hubungi Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 segera selepas menyedari dipersaya dan baharu melakukan transaksi ke akaun bank scammer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top