hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 168 kes kemalangan direkodkan membabitkan kenderaan perdagangan direkodkan setakat September ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia membabitkan 97 kes maut, 32 kes parah dan 39 kes ringan, manakala 16 kes membabitkan kenderaan perkhidmatan.
Menurutnya, sebanyak 4,822 operasi dilakukan melalui pelaksanaan Ops Perdagangan di seluruh negara dengan sebanyak 38,367 saman dikeluarkan membabitkan kenderaan perdagangan, manakala sebanyak 177 pelbagai jenis kenderaan turut disita.
“Kesalahan utama yang dikenal pasti ialah membawa muatan berbahaya, tiada segitiga, tiada bunga tayar, lampu isyarat dan brek tidak berfungsi selain membawa muatan tidak kemas.
“Lori kecil, treler dan lori kontena adalah penyumbang tertinggi bagi kes kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan sepanjang tempoh sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memandang serius kes kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan hingga menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya lain.
Katanya, pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap semua kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang serta tidak akan berkrompomi serta mengambil tindakan tegas dalam penguatkuasaan itu bagi menjamin keselamatan pengguna.
“Semua tindakan akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya.
Mohd Yusri berkata, bagi mengelak dan mengurangkan kemalangan berlaku, pihaknya menyeru pengusaha dan majikan kenderaan perdagangan melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman merangkumi tahap kesihatan pemandu dengan kesiapsiagaan dan kemahiran pemanduan.
“Selain itu, penyelenggaraan berkala dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal serta pemeriksaan kenderaan dipatuhi sepenuhnya dan layak untuk dipandu di jalan raya.
“Semua pengguna kenderaan digesa untuk mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan diri dan orang ramai,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd