JSPT rekod 6,013 kemalangan, 60 kematian sepanjang Ops Khas sempena Deepavali

JSPT rekod 6,013 kemalangan, 60 kematian sepanjang Ops Khas sempena Deepavali

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Memandu secara melulu dan merbahaya adalah kesalahan tertinggi yang menyebabkan kemalangan maut sepanjang perayaan Deepavali lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 6,013 kes kemalangan dengan 60 kematian direkodkan sepanjang operasi sempena perayaan Deepavali selama empat hari yang bermula 31 Oktober lalu sehingga semalam.

“Sepanjang operasi berkenaan, JSPT melaksanakan 388 operasi di seluruh negara dan berjaya menahan 97 individu atas pelbagai kesalahan serta menyita 647 kenderaan.

“Daripada jumlah itu, 91 tangkapan membabitkan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987; kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (3); Kanun Keseksaan (2) dan lain-lain (1),” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan JSPT di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pihaknya turut melaksanakan Operasi Samseng Jalanan sepanjang perayaan Deepavali.

Beliau berkata, seramai 119 tangkapan direkodkan bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, ini diikuti 45 tangkapan bagi kesalahan nombor pendaftaran palsu atau fancy; lumba haram (2) dan lain-lain (4).

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah kemalangan membabitkan motosikal menunjukkan penurunan 10.01 peratus apabila sebanyak 2,461 kes direkodkan dari 12 Ogos sehingga 12 September lalu, berbanding 2,735 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Begitu juga kemalangan maut yang menyaksikan penurunan 113 kes atau 26.03 peratus iaitu 321 kes tahun ini berbanding 434 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kematian membabitkan penunggang dan pembonceng pula menurun kepada 324 kematian berbanding 436 kematian tahun lalu,” katanya.

Kata beliau, pelaksanaan operasi dan tangkapan adalah usaha berterusan JSPT dalam menangani isu peningkatan kes kematian akibat kemalangan terutama penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya dalam mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top