hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jawatankuasa Tetap Program Pegawai Integriti Bertauliah (JTPPIB) terus berperanan sebagai platform penting dalam merangka pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) secara strategik dan menyeluruh agar kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Junipah Wandi berkata, penyelarasan program berasaskan keperluan semasa serta impak jangka panjang adalah penting kepada ekosistem integriti negara.
Beliau berkata, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) juga memainkan peranan dalam membangunkan kapasiti pegawai integriti sebagai ejen perubahan dan pemacu utama agenda integriti nasional.
“Saya menyarankan supaya Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) dimanfaatkan sebagai rakan strategik dalam memperkukuh jaringan komuniti CeIO menerusi pelaksanaan program latihan, seminar serta kolaborasi rentas agensi,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JTPPIB di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Idris Zaharudin; Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohd Hafaz Nazar; dan Pengarah Kanan Perisikan, Datuk Saiful Ezral Ariffin.
Menurutnya, antara agenda utama mesyuarat termasuk pembentangan empat kertas kerja penambahbaikan modul CeIO oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), yang merangkumi Sektor Awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK), Sektor Swasta dan Eksekutif serta Garis Panduan CeIO Kehormat.
“Penambahbaikan modul ini dibangunkan berasaskan dapatan Analisis Keperluan Latihan (Training Needs Analysis – TNA) yang dijalankan bersama pihak berkepentingan termasuk Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT), Unit Integriti agensi awam, serta Unit Integriti dan Governans (IGU) bagi SBK.
“Analisis mengenal pasti jurang kompetensi sedia ada yang perlu ditangani secara menyeluruh melalui kandungan dan pendekatan yang dipertingkatkan,” katanya.
Mesyuarat turut membincangkan cadangan mekanisme penilaian peserta yang lebih berstruktur dan menyeluruh bagi memastikan kualiti dan kredibiliti setiap calon sebelum ditauliahkan sebagai CeIO.
Cadangan modul baharu dan mekanisme penilaian ini dijangka dibentangkan kepada Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) pada September 2025, sebelum pelaksanaannya secara menyeluruh pada tahun hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd