PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan masih terdapat penjualan senjata api tiruan secara terang-terangan di platform media sosial biarpun ia menyalahi undang-undang negara.
Perkara ini terbongkar selepas satu serbuan dilakukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman ke atas sebuah kediaman di Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat dan telah menahan seorang wanita.
Turut ditemukan iaitu pelbagai senjata api tiruan yang dijual melalui penstriman langsung di media sosial bernilai RM4,000.
Timbalan Pengarah KDNKA (WCB/PSK), Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, wanita berusia 33 tahun itu ditahan selepas bertindak sebagai penjaga rumah berkenaan yang menyimpan senjata api tiruan dan komponen-komponen berkaitan.
Penahanan wanita ini juga mendapati dia bertindak sebagai pengendali media sosial dikenali ‘Gradehobby gb2’ yang menjual senjata tiruan selain menguruskan urusan hantaran dan tempahan pembelian yang dibuat pelanggan mereka.
Beliau berkata, penjualan senjata api tiruan secara ‘live’ pula telah dikendalikan oleh suspek utama yang sedang diburu.
“Identiti suspek utama itu sudah dikenal pasti, kami mempunyai semua maklumat berkaitan dirinya. Oleh itu, saya minta dia tampil menyerah diri sebelum pihak polis sendiri pergi dan tahan dia.
“Selain itu, kita juga mempunyai senarai pelanggan yang membeli senjata tiruan daripada mereka. Kita minta mereka hapuskan segera peralatan itu sebelum kita kesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau memberitahu, semasa pemeriksaan dijalankan di dalam rumah itu pelbagai komponen senjata api tiruan dan senjata api berjadual ditemukan.
Antara yang dirampas iaitu 24 unit pelbagai komponen dan aksesori senjata api tiruan selain kelopak senjata api disyaki tiruan 5.56 x 45 (dua) serta anak panah (dua).
“Selain, satu unit aksesori senjata api disyaki tiruan jenis Hand Guard berwarna hitam tertera tulisan Geissele Automatics turut dirampas diikuti plastik lutsinar mengandungi senjata api tiruan jenis Bud Mildspec Mod 2 Sopmod Stock berwarna hitam (satu).
“Penahan dan rampasan ini adalah operasi susulan yang telah dijalankan sejak awal tahun ini bagi membanteras penjualan senjata api tiruan di laman sosial,”jelasnya.
Mohammad Azlin berkata, turut dirampas iaitu satu unit busur memanah jenama Hu Wai Ren berwarna hitam diikuti sarung taktikal anak panah bersama lima anak panah (satu) ; beg busur berwarna hitam (satu) dan pelbagai senjata api tiruan yang lain.
Beliau memberitahu, modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat promosi jualan senjata api melalui akaun TikTok dan Telegram dikendalinya.
“Senjata yang ingin dibeli adalah di dalam bentuk pra-pesanan (pre-order) dan setelah pelanggan membayar jumlah yang ditetapkan barulah suspek akan membuat tempahan di dalam talian menerusi laman web dari negara luar.
“Apabila barang yang telah dibeli sampai suspek akan terus menghantar kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan penghantaran J&T di Bandar Pasir Mas, Kelantan,” jelasnya.
Tambah Mohammad Azlin, kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan dan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Tegas beliau, PDRM khususnya WCB/PSK tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pembeli-pembeli senjata api tiruan tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan, memiliki atau menjual apa-apa senjata api tiruan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.
“Selain, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mempunyai maklumat terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencurigakan membawa senjata api di tempat awam,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohammad Azlin berkata, sebanyak 118 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan seramai 155 orang ditahan bagi tempoh Januari sehingga semalam.
Kesemua mereka ditahan kerana terlibat pelbagai kesalahan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupam hidupam liar serta penjualan senjata tiruan.
“Keseluruhan nilai rampasan sepanjang tempoh itu bernilai RM406 juta.
“PDRM menyambut baik kerjasama dijalankan bersama agensi penguat kuasa yang lain dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dan keselamatan serta ketenteraman negara terpelihara,” tegasnya. – UTUSAN