JUALAN EV DIJANGKA MELONJAK TAHUN INI

JUALAN  EV DIJANGKA MELONJAK TAHUN INI

JUALAN kenderaan elektrik (EV) dijangka melonjak tahun ini susulan pengecualian duti import dan eksais bagi EV import sepenuhnya (CBU) yang mungkin tidak dilanjutkan selepas akhir 2025.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah berkata, pasaran EV tempatan masih kecil, justeru lonjakan jualan EV tahun ini dijangka tidak akan memberikan kesan ketara kepada prestasi jumlah keseluruhan industri (TIV).

“Jualan EV menaik kepada 14,700 unit pada tahun 2024 atau 45 peratus tahun ke tahun, yang merangkumi sekitar 1.8 peratus daripada seluruh TIV.

“Mengikut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pendaftaran kereta EV termasuk bukan ahli Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melonjak naik 63 peratus tahun ke tahun kepada 21,800 unit pada tahun 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Syahril berkata, angka itu membentuk 2.5 peratus daripada jumlah kereta berdaftar tahun lalu, berbanding 1.6 peratus pada 2023, manakala dari segi bilangan penggunaan EV pula, BYD mendahului persaingan dengan pendaftaran kereta sebanyak 8,570 unit, sementara Tesla muncul di tangga kedua dengan 5,137 unit.

Beliau menambah, dengan anggaran catatan TIV bagi 2025 tidak berubah pada angka 730,000 unit, ramalan TIV akan semakin berkurangan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun sebaik saja kesan asas tinggi bermula.

“Kami juga tidak nampak ada sebarang faktor dalam membantu jualan automotif pada tahun ini untuk terus kekal berada pada paras tinggi sekarang dan kami juga masih berhati-hati dalam gambaran kerana persaingan harga yang masih berlaku bagi segmen jenama bukan nasional dan tunggakan pesanan semakin rendah.

“Sime Darby dan Bermaz Auto kekal sebagai saham utama, khususnya Bermaz Auto yang menawarkan nilai menarik dan kadar hasil dividen tinggi.

“Sime Darby pula berkedudukan baik untuk menghadapi pewajaran RON95 melalui barisan EV yang luas, manakala pegangan saham dalam Perodua juga akan memberikan perlindungan perolehan persaingan dalam kalangan pengeluar kereta bukan nasional yang semakin rancak,” katanya.

Beliau berkata, pada Disember 2024, MAA merekodkan TIV berjumlah 81,700 unit yang menaikkan jumlah TIV 2024 kepada paras 816,747 unit, peningkatan dua peratus tahun ke tahun yang sekali gus mengatasi pencapaian rekod sebelum ini berjumlah 800,000 unit pada 2023.

Katanya, kenaikan bulan ke bulan pada Disember 2024 disaksikan merentasi syarikat pengeluar kereta utama yang diterajui oleh Toyota (53 peratus), diikuti oleh Honda (39 peratus), PROTON (16 peratus) dan PERODUA (satu peratus).

“Perodua berjaya menghantar 358,102 unit pada 2024 dan ini tahun ketiga ia mencatat jualan pecah rekod secara berturut-turut, dengan kenaikan 8.4 peratus daripada catatan 330,000 unit semasa 2023.

“Proton sebaliknya mengalami sedikit penurunan sebanyak 2.2 peratus dalam jumlah jualan menerusi penghantaran kereta berjumlan 147,587 unit pada 2024,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top