Jualan kenderaan 4×4 masih stabil buat peniaga, dibantu kad fleet

Jualan kenderaan 4×4 masih stabil buat peniaga, dibantu kad fleet

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter baru-baru ini mula mencetuskan riak bimbang dalam pasaran automotif terpakai, khususnya membabitkan jangkaan penyusutan jualan dan kejatuhan nilai ambilan (trade-in) bagi kenderaan pacuan empat roda (4×4).

Walaupun harga jualan kenderaan berkenaan di pasaran ketika ini dilaporkan masih kekal dan belum diselaraskan, penggiat industri menjangkakan impak sebenar rasionalisasi subsidi itu akan mula menghentam pasaran dalam tempoh terdekat.

Perunding jualan bebas kenderaan terpakai, Mohd Fairus Iskandar, 52, berkata, jualan kenderaan diesel terutamanya kenderaan jenis pelbagai guna ini dijangka berdepan kejatuhan teruk yang dianggarkan mencecah 30 peratus ke atas.

Menurutnya, unjuran itu didorong oleh faktor sentimen pengguna dan kehilangan kuasa beli pelanggan yang kini lebih berhati-hati dengan kos operasi harian susulan lonjakan harga bahan api itu.

“Apabila permintaan semakin berkurang dan orang ramai mula perlahan untuk membeli, nilai ambilan atau ‘trade-in’ bagi kenderaan diesel daripada pemilik juga akan jatuh secara automatik.

“Kita menjangkakan peratusan kejatuhan nilai kenderaan ini di pasaran kereta terpakai kelak boleh merudum teruk antara 30 hingga 50 peratus,” katanya.

Sementara itu, Perunding Jualan Kenderaan Terpakai, Ahmad Nor Othmaniah Mohd Sawdzan, 35, tampil dengan pandangan berbeza apabila menyifatkan jualan 4×4 masih stabil dan tidak terjejas buat masa ini.

Beliau berkata, hal ini kerana majoriti pembeli kenderaan jenis pelbagai guna itu terdiri daripada golongan peniaga yang menjadikannya sebagai medium wajib untuk logistik barangan.

“Selagi perniagaan mereka tidak terjejas dan masih berjalan seperti biasa, selagi itulah permintaan terhadap kenderaan 4×4 ini akan kekal relevan di pasaran walaupun harga minyak naik.

“Malah, kebanyakan peniaga ini mendaftar kenderaan perniagaan mereka di bawah kelayakan kad fleet subsidi kerajaan, sekali gus mengurangkan impak kenaikan kos operasi yang ditanggung,” katanya.

Katanya, bersandarkan faktor utiliti itu, pengusaha kenderaan terpakai setakat ini belum menurunkan harga belian kereta daripada pelanggan kerana pembeli 4×4 membuat keputusan berdasarkan keperluan dan kemampuan fungsi jentera, bukan sekadar harga minyak.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan wujud situasi panik dalam kalangan pengguna persendirian apabila pihaknya menerima dua hingga tiga panggilan daripada individu yang berhasrat menjual kenderaan diesel masing-masing serta-merta pada hari pertama pengumuman harga baharu itu.

Menelusuri trend jangka masa panjang, pasaran kenderaan dijangka terus berada dalam fasa ‘tunggu dan lihat’, dengan bakal pembeli mula ‘menarik brek tangan’ daripada membuat pembelian semberono, atau mula meninjau alternatif penjimatan lain seperti kenderaan elektrik (EV) dan petrol berkapasiti kecil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top