Jualan Ramadan, Raya PMKS di TikTok Shop melonjak 130%

Jualan Ramadan, Raya PMKS di TikTok Shop melonjak 130%

PETALING JAYA: Jualan produk buatan Malaysia oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah kempen #JomLokal serta jenama asli di TikTok Shop Mall melonjak lebih 130 peratus tahun ke tahun sepanjang tempoh Ramadan dan Raya baru-baru ini.

Pertumbuhan luar biasa itu dipacu oleh sokongan bernilai RM20 juta menerusi Pakej Rangsangan #JomLokal Booster, selain pelaburan berterusan platform tersebut dalam menjamin pengalaman membeli-belah yang selamat buat pengguna.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, peningkatan jualan bagi jenama premium di TikTok Shop Mall mencerminkan tahap keyakinan dan kepercayaan pengguna yang semakin tinggi terhadap platform berkenaan.

“Keselamatan adalah keutamaan kami. TikTok Shop telah melabur hampir AS$1 bilion di peringkat global dalam teknologi dan tenaga kerja bagi melindungi komuniti pembeli, penjual serta pencipta afiliasi kami.

“PMKS tempatan juga terus menunjukkan ketahanan kompetitif yang tinggi. Kami komited untuk terus mengetengahkan produk buatan Malaysia dan memperkasa usahawan melalui #JomLokal bagi memacu pertumbuhan ekonomi inklusif,” katanya dalam kenyataan. 

Sejak dilancarkan pada September 2025, Pakej Rangsangan #JomLokal Booster telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 PMKS melalui pengecualian yuran komisen.

Inisiatif tersebut turut merangkumi penganjuran 14 bengkel kemahiran yang disertai lebih 1,000 penjual baharu, serta sesi pemadanan perniagaan yang berjaya melahirkan lebih 1,000 pencipta afiliasi untuk mempromosikan produk tempatan.

Dari aspek keselamatan platform, TikTok Shop menunjukkan ketegasan dalam melindungi ekosistemnya dengan menolak lebih 70 juta percubaan penyenaraian produk yang melanggar dasar di peringkat global antara Januari hingga Jun 2025.

Platform itu turut menolak 1.4 juta permohonan pendaftaran akaun penjual yang tidak memenuhi piawaian ketatnya, selain melancarkan inisiatif pencegahan penipuan #ShopSafe pada April 2025 bagi mendidik rakyat Malaysia tentang amalan terbaik membeli-belah dalam talian. – UTUSAN

Scroll to Top