mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penat lelah Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjulang kejuaraan dunia ternyata berbaloi apabila mereka menerima ganjaran lumayan bernilai RM125,000.
Ganjaran lumayan itu disampaikan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng pada majlis penghargaan yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sempena kejayaan pasangan negara itu menjulang gelaran dunia, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa baru-baru ini.
Penghargaan itu bersifat peribadi buat Lim kerana Tang Jie sendiri adalah bekas penerima biasiswa Program SS Junior Badminton Talent Scholarship yang ditubuhkan pada 2012 hasil kerjasama Senheng dan Samsung.
Program berkenaan lahir daripada visi Lim bersama pengasas Petaling Badminton Club, Datuk Jack Koh, untuk melahirkan juara dunia dan membina asas kukuh dari peringkat akar umbi.
“Kita meraikan bukan sahaja kemenangan tetapi juga sebuah visi. Ketika saya pertama kali bertemu Datuk Jack pada 2007, kami bersetuju jika Malaysia mahu emas Olimpik pertama, ia perlu bermula dari bawah.
“Maka lahirlah biasiswa SS Junior Badminton Talent Scholarship. Kami melabur RM12 juta dalam tempoh enam tahun, bukan sebagai perbelanjaan, tetapi sebagai pelaburan untuk masa depan Malaysia,” katanya.
Kejayaan itu nyata membuahkan hasil apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi juara dunia pertama Malaysia pada 2022, sebelum legasi itu diteruskan oleh Tang Jie-Ee Wei tahun ini bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
“Banyak syarikat bercakap mengenai CSR (tanggungjawab sosial korporat). Bagi saya, ini bukan sekadar tanggungjawab, ia satu keistimewaan. Dapat menyumbang dalam membentuk juara, melihat bakat muda berkembang menjadi bintang dunia, itu lebih bermakna daripada apa-apa angka dalam penyata kewangan,” katanya.
Sebagai menghargai pencapaian berkenaan, Tang Jie menerima wang tunai RM100,000 manakala Ee Wei pula membawa pulang produk elektronik bernilai RM25,000.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Datuk Jack Koh yang sama-sama melihat hasil kerjasama sektor awam dan swasta membuahkan kejayaan di pentas dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




