sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan untuk melangkah ke peringkat 16 terbaik selepas mudah menewaskan pasangan Indonesia di pusingan pertama Terbuka Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, hari ini.
Tang Jie-Ee Wei turun dengan status selaku juara dunia 2025 dilihat cukup tenang dalam mengawal permainan dan tidak berdepan masalah besar untuk mencatat kemenangan ke atas Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu straight set 21-12, 21-17 dalam masa 39 minit.
Meskipun Jafar-Felisha cuba memberi tentangan sengit dan mencuri sekurang-kurangnya satu set tetapi gandingan nombor empat dunia itu tidak tergugat, sebaliknya berjaya menyerap segala asakan untuk mengecewakan pasangan Indonesia itu buat kali ketujuh berturut-turut.
Bagi Tang Jie, meskipun sudah banyak kali bertemu dan keputusan selalu memihak kepada wakil negara, dirinya masih melihat pihak lawan sentiasa memberi tentangan sengit.
“Tak ada perbezaan (banyak kali bertemu). Mereka sentiasa memberi kesukaran buat kita tetapi kami sangat gembira menang.
“Untuk semua pemain, saya rasa perlawanan pembukaan sangat sukar kerana perlu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan suasana. Komunikasi kita juga bagus hari ini dan berharap akan lebih baik di pusingan 16,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai pertemuan menentang Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin di pusingan kedua Khamis ini, Tang Jie tetap akan memandang serius dan berpendapat perlawanan itu akan menjadi sukar biarpun sering berlatih bersama.
“Saya rasa untuk Malaysia, ia sesuatu yang gembira kerana kita sudah ada satu wakil di suku akhir. Untuk kita, kita sama macam pemain lain juga, kita nak menang juga tapi tengok juga pada rezeki hari itu,” katanya.
Sementara itu Ee Wei berpendapat sokongan penuh dari peminat di stadium turut membantu mereka dan berjanji akan menampilkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan untuk mendapatkan kemenangan.
Terdahulu, Pang Ron-Su Yin terlebih dahulu menempah tiket ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 20-22, 21-18, 21-17 dalam masa 72 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




