London: Jamie Murray yang muncul pemain beregu Britain pertama menduduki ranking nombor satu dunia, mengumumkan persaraannya daripada tenis pada usia 40 tahun, semalam.
Juara Grand Slam tujuh kali itu yang tidak beraksi sejak Terbuka Amerika Syarikat Ogos lalu, berkata beliau ‘teruja untuk memasuki dunia sebenar’.
“Perjalanan tenis saya berakhir selepas 36 tahun,” kata Murray, abang kepada bintang tenis perseorangan Britain, Andy, dalam satu hantaran di Instagram.
“Saya berasa sangat bertuah dan berbesar hati atas semua pengalaman hebat yang diberikan oleh sukan ini.”
“Terima kasih kepada ayah, ibu, Andy, Ale, Alan, Louis dan Thomas atas segala sokongan, usaha dan pengorbanan sepanjang karier yang membolehkan saya mencapai segala saya mampu dalam sukan ini,” tambah pemain Scotland itu.
“Kepada semua yang membantu dan menyokong, saya amat menghargai anda semua!”
Murray memenangi dua daripada 34 gelaran beregunya bersama Andy, dan mereka bergandingan cemerlang membantu Britain menjuarai Piala Davis pada 2015 buat kali pertama dalam tempoh 79 tahun.
Andy Murray, juara Grand Slam perseorangan tiga kali berada di kotak jurulatih untuk mengambil gambar ketika Jamie memenangi gelaran beregu lelaki Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia 2016.
Ketika itu awal pagi dan Andy dijadualkan menentang Novak Djokovic dalam final perseorangan di Melbourne hanya 18 jam kemudian.
“Bukankah kamu patut berada di katil?” gurau Jamie ketika menerima trofi bersama pasangan dari Brazil, Bruno Soares.
Mereka kemudian menambah gelaran Terbuka Amerika Syarikat pada tahun yang sama dan menamatkan 2016 sebagai pasangan beregu nombor satu dunia, dengan Andy Murray turut berada di ranking nombor satu dunia bagi kategori perseorangan.
Jamie Murray juga memenangi lima gelaran beregu campuran, termasuk dua di Wimbledon bersama Jelena Jankovic pada 2007 dan Martina Hingis 10 tahun kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd



