London: Juara Olimpik, Katy Marchant mengalami patah tangan selepas terbabit dengan kemalangan ngeri bersama penunggang lain yang turut menyebabkan beberapa penonton mengalami kecederaan.
Bintang emas Great Britain yang meraih emas di Olimpik Paris 2024 itu cedera apabila dia yang berkayuh pada kelajuan tinggi terbabit dengan kemalangan sehingga melepasi penghadang memasuki kawasan penonton di Velodrom Lee Valley di London – menyebabkan acara Liga Juara-Juara Trek dibatalkan.
Kamera TV Eurosport yang membuat perlumbaan secara langsung berhenti merekod adegan yang mengerikan itu.
Pasukan perubatan memberi rawatan segera kepada Katy dan lawannya dari Jerman, Alessa-Catriona Propster dan empat orang penonton yang cedera.
Katy dibawa ke hospital dan difahamkan mengalami patah tulang lengan bawah.
Kemalangan berlaku apabila bintang Leeds dan Alessa bertembung semasa pusingan pertama keirin.
Kedua-duanya terpelanting ke arah penonton di bahagian atas trek.
Suaminya, Rob berada bersama dengannya sebelum menerima rawatan.
Dia kemudian dibawa keluar ke hospital dengan Katy kemudiannya dilaporkan berada dalam “keadaan stabil”.
© New Straits Times Press (M) Bhd




